Wednesday, August 24, 2011

Iktibar daripada kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka

TERKINI: Tulisan di bawah ini tersiar dalam akhbar Berita Harian 26 Ogos, dengan sedikit editing. Sila klik sini


Ogos ini bulan yang istimewa. Pada bulan ini, umat Islam menyambut Ramadan dan hari kemerdekaan negara serentak. Namun, ramai yang lupa. 24 Ogos ada cerita besar yang memberikan iktibar kepada kita sebagai rakyat Malaysia. Pada tarikh ini, genaplah 500 tahun Kesultanan Melayu Melaka runtuh dan diranapkan penjajah Portugis. Empayar Melaka yang terkenal dan masyhur seluruh dunia serta disegani lawan dan kawan punah akibat kelemahan kepimpinan dan rakyat yang tidak bersatu padu.

Dalam suasana kini, kisah sejarah Kesultanan Melayu Melaka harus menjadi contoh teladan yang baik untuk masyarakat mengambil peduli. Perpaduan rakyat, kepimpinan yang amanah, kesetiaan kepada negara adalah tunjang penting untuk membina negara dan seterusnya membangunkan negara supaya terus maju.

Sejarah lampau juga mengajar kita tentang si kitol yang belot kepada negaranya. Dewasa ini, si Kitol moden semakin berlambak dan bersiap sedia untuk memusnahkan negaranya sendiri. Kita juga tidak perlu bergantung kepada warga luar untuk menjaga negara kita ataupun membangunkan negara kita. Lihatlah, bagaimana askar upahan Jawa melarikan diri saat Melaka diserang. Apakah kita mahu perkara sebegitu berulang? Ini negara kita, maka kitalah yang patut menjaga dan membangunkannya.

Kepimpinan atasan juga perlu amanah semasa menjalankan tugasnya. Kesultanan Melayu Melaka porak peranda akibat pemimpin politiknya yang mengamalkan pilih kasih, amalan fitnah dan tidak jujur dalam pemerintahan. Kebelakangan ini fitnah semakin menjadi-jadi dalam masyarakat kita. Ambillah iktibar, peristiwa Tun Mutahir difitnah sehingga membawa kepada kematiannya. Contohilah kepimpinan Umar Abdul Aziz yang menjadikan jawatan yang disandangnya sebagai satu amanah yang akan dipersoalkan. Umar tidak menjadikan jawatannya sebagai ghanimah yang direbut-rebut ataupun sebagai kemuliaan yang dibangga-banggakan.

Perpaduan adalah aspek utama bagi negara yang berbilang kaum. Tinggalkan warna kulit, kasta, perbezaan agama, pangkat dan bahasa demi untuk membentuk rakyat Malaysia tulen yang menyayangi negara ini. Umar Abdul Aziz amat mementingkan perpaduan. Beliau tidak membezakan bangsa Arab ataupun bangsa bukan Arab seperti golongan Mawali yang pernah dilayan sebagai kelas kedua sebelumnya. Layanan yang diberikan berteraskan perintah agama Islam.

Keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka ialah sejarah lampau yang tidak perlu diulangi lagi. Kita perlu belajar daripada sejarah. Alangkah nistanya bangsa kita sekiranya kita terjatuh dalam lubang yang sama buat kali kedua lantaran kita tidak pernah belajar daripada sejarah.

2 comments:

Shamsudin Ramli said...

Tq atas maklumat yang diberi.

Shamsudin Ramli said...

Tq atas maklumat yang diberi.