Wednesday, December 22, 2010

Belajar Sejarah Menggunakan Komik



Kebanyakan pelajar menganggap Sejarah sebagai mata pelajaran yang membosankan. Seterusnya, ada sesetengah pelajar mengambil mudah mata pelajaran ini dan memberi lebih perhatian kepada mata pelajaran Sains dan Matematik yang dikatakan lebih bernilai tinggi. Namun hakikatnya, mata pelajaran Sejarah adalah subjek penting untuk memupuk nilai patriotisme terhadap generasi awal. Sejarah bukan sekadar bercerita tentang perkara-perkara lampau tetapi lebih ke arah belajar untuk memahami masa kini berdasarkan masa lampau.

Keputusan kerajaan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Sejarah dalam SPM adalah tindakan betul yang mungkin berupaya meningkatkan kembali kefahaman generasi kini terhadap sejarah dan patriotisme negara yang semakin tipis. Namun adakah dengan wajib lulus mata pelajaran ini mampu menjana minat pelajar terhadap sejarah?

Saranan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) agar menjadikan komik sebagai bahan pembelajaran di sekolah adalah suatu tindakan kreatif untuk memupuk minat pelajar untuk belajar, terutamanya belajar mata pelajaran Sejarah. Melalui penggunaan komik sejarah, pelajar akan mengikuti pembelajaran dengan keadaan yang menyeronokkan, meningkatkan kefahaman pelajar, menjana daya kreatif dan imaginatif pelajar.

Penggunaan komik dalam mata pelajaran Sejarah ini perlu dilakukan secara tersusun dengan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dengan tatabahasa yang betul. Usah terikut-ikut dengan bahasa seharian atau loghat yang sering terdapat dalam komik tempatan atau luar negeri. Unsur jenaka juga wajar diselitkan dalam komik sejarah untuk menimbulkan mood gembira kepada pembacanya.

Peristiwa dan watak yang dipaparkan dalam komik sejarah pula perlu tepat tanpa ada tambahan atau melebih-lebihkan sesuatu keadaan. Keadaan ini tentunya banyak bergantung kepada pengetahuan pelukis komik dengan dikawal selia oleh editor. Ini kerana komik sejarah perlu menerangkan sejarah sebenar –berfungsi seperti buku teks atau buku rujukan- cuma dalam pendekatan yang berlainan.

Meskipun penggunaan komik dalam mata pelajaran Sejarah membantu kepada cara pembelajaran dan pengajaran namun kaedah tradisional masih diperlukan. Komik dalam pendidikan hanya bertindak sebagai bahan pelengkap dan mewujudkan ruang untuk pelajar belajar dengan cara yang menyeronokkan.

Nota Tambahan: Setakat ini, setahu saya, hanya ada tiga penerbit buku bersilibus yang menerbitkan buku rujukan sejarah dalam bentuk komik iaitu Penerbit Pelangi, Penerbit Eastview dan Penerbitan Multimedia. Saya lebih menyukai komik sejarah yang diterbitkan oleh Penerbitan Multimedia (walaupun hanya lukisan hitam putih) kerana persembahannya yang menarik, kelakar, banyak ilmu dan kreatif.

* kartun diatas dilukis oleh saya sendiri. Jadi, hak cipta terpelihara.

* Pandangan ini diterbitkan di ruangan emel dan surat pembaca, akhbar Berita Harian pada 24.12.2010 menggunakan tajuk "Komik Sejarah perlu disusun, bahasa betul" Sila klik link

2 comments:

jesz said...

Cadangan yang baik. Saya pernah mendengar cadangan supaya selain buku teks sejarah, ada buku sampingan yang dibekalkan seperti KOMSAS dalam pengajaran bahasa Malaysia.. sebagai contoh, mungkin ada sebuah buku kecil/ komik menceritakan tentang Yap Ah Loy secara terperinci. Apabila sampai ke tajuk pembukaan Kuala Lumpur mungkin sisipan ini boleh membantu. Mustahil semua kisah tentang Yap Ah Loy boleh dimuatkan dalam sebuah buku teks.

MKriza said...

Tuan Jesz
Saya sangat bersetuju dengan cadangan tuan.Buku sampingan ini boleh dijadikan pelengkap bacaan.
Buku teks tidak semestikan melambakkan semua maklumat.